Khamis, 6 Oktober 2011

hikayat Tanpa Tajuk Part 2

Hikayat kitab tanpa tajuk

bahagian kedua

suria terbenam diufuk barat

langkah disusun semakin berat

membawa duka yang kian sarat

cuba terima takdir tersurat


Panglima Bayu gagah perkasa

terkenal sifatnya taat dan setia

teguh menjunjung segala kata

walaupun berat akan dikota


hakikat dirinya manusia biasa

tiada terlepas perasaan cinta

rela berkorban kerana kasihnya

dan itulah yang berlaku kepada dirinya


Panglima Bayu terkorban sudah

tiada mampu mencegah balah

negara aman bermandi darah

namun sang Puteri tiada endah


Bila terkenang pujaan hati

kalung dileher bagaikan sakti

permata bersinar tiada seri

bagai bersedih sama se hati


negara gagah dahulu megah

kini terus menumpah darah

keamanan hanya pada yang gagah

yang lemah pula terpaksa pasrah


Sinar Syahadah sudah dilupa

rayat jelata kembali leka

kembali menyembah mengharap pula

kabus yang gelap menutup mereka


Sang Puteri masih berkabung duka

makan dan minum juga dilupa

terkejut bila muncul gurunya

Petapa Agung guru tercinta


“wahai anaknda puteri gagah,

pada janji mu lupa kah sudah,

negeri ini terus berbalah,

pulanglah anaknda mengambil kisah”


“paduka guru yang beta kasihi,

bukan anaknda terlupa diri

sekadar mengubat luka dihati

pedihnya sangat tidak terperi"


“wahai anaknda ingat selalu,

tak mampu kita mengundur waktu,

perkara terjadi telah berlaku,

mengapa mesti membuang waktu”


tiada berganjak walau dipujuk

masih mengikut hati merajuk

kesedihan tiada dapat disorok

hasrat dihati ingin mengamuk


Melihat puteri semakin gundah

Petapa Agung dapat menelah

dengan saktinya puteri pun rebah

hanya begitu musibah dicegah


sebelum puteri lena beradu

puteri bersumpah didalam kalbu

bangkitlah diriku didunia baru

lupa kan aku asal usulku.


Disuatu masa didunia berbeza

lahirnya puteri bukan putera

ayah dan bonda tetap terima

walau dihati rasa kecewa.


Puteri membesar bersama naluri

hingga remaja tiada mengerti

apakah maksud segala mimpi

setiap malam mendamping diri


diri terasa sesuatu yang tiada

naluri mencari meronta ronta

puas bersoal puas bertanya

jawapan yang pasti tiada juga


setelah diri meningkat dewasa

beralih dari alam remaja

mengerti diri amatlah berharga

Puteri Seri Dewi lahir semula


Lahirnya kini berkongsi jasad

diri sebenar tak dapat dilihat

sejarah hidup tiada diingat

hanya firasat yang tiada tepat


dirinya terus diulit sepi

mengapa terjadi tiada mengerti

resah gelisah setiap hari

cinta sejati masih dicari


disuatu sudut dunia yang sama

kisah yang lama telah dilupa

namun hatinya menyimpan rahsia

berharap selamat insan tercinta


hidup nya kini didunia baru

tidak lah lagi seperti dahulu

segala yang terbina menjadi debu

sirna bersama hembusan bayu


namun hati nya tetaplah teguh

mengembang syahadah menempuh geruh

cara sendiri menerapkan patuh

namun hati nya tiadalah rapuh


takdir berada ditangan tuhan

kehendakNya tak dapat ditahan

bertemu kembali dua insan

bagaikan sakti memenuhi impian...


hakikat berlaku tiada diduga

kalung pusaka kembali bercahaya

kesan pertemuan tiada dijangka

hikmah kembara merentas dunia


Segala kisah telah terurai

pertemuan kembali menyingkap tirai

hakikat diri kini terlerai

telah diramal si bijak pandai


kisah berterusan ....

hinggalah kepada suatu ketika dan masa ia dtamatkan oleh Allah Azawajalla, nukilan ini dari sebuah kisah tidak bernama dari sebuah kitab yang tidak bertajuk.

Hamba abadikan ia sebgai Hikayat Sang Puteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan