Dikhabarkan dalam sebuah kisah
Perkhabaran kitab tampa tajuk
Ramai pendita cuba menelah
Tiada pula dapat petunjuk.
Tersebar khabar sebuah Negara
Rakyatnya makmur aman sejahtera
Naungan luas saujana mata
Berkat bijaknya seorang raja
Negara makmur bukanlah segala
Raja gundah bercampur derita
Negaranya luas tiada terkata
Tiada pewaris kepada takhta.
Takhta bergelar Sanggar Buana
Sebutan ramai kerana daulatnya
Raja bernama Sang Aria Dewa
Ratu Kencana nama surinya
Pewaris gahara hanyalah puteri
Tiga bersaudara indah pekerti
Namun dijaga sepenuh hati
Agar berjiwa bak serikandi.
Puteri sulung mudah dikenali
Ramah dan mesra suka berbudi
Lemah dan lembut itu pekerti
Tersohor nama Seri Puteri
Aria Puspasari
Namanya sejati
Mahir merawat memulih diri
Kerana berguru Tabib Sakti
Puteri kedua keras lakunya
Penjaga kepada dinda dan kandanya
Tangkas bertempur dimedan laga
Terkenal Seri Dewi serikandi perkasa
Aria Nur Nilamsari
Nama diberi buat puteri
Puteri serikandi Seri Dewi
Petapa Putih si guru Sakti
Puteri bongsu berlainan tingkah
Bersikap riang tiada bergundah
Walau datang seribu resah
Seri Mawarni tetap tak kisah
Aria Purnama Sari nama sebenar
Bersilat berubat tiadalah gemar
Walau berbakat tiadalah pintar
Puteri manja kekal lah gelar
Sang Aria Dewa punyai saudara
Sang Aria Sakti bergelar nama
Mengintai takhta sudahlah lama
Didalam diam mula derhaka
Negara berpegang adat purba
Bercampur agama dan puja memuja
Adat dan hukum dianggap sama
Hati mereka sebenarnya gelita.
Ribut Melanda disuatu masa
Perang yang dahsyat menimpa buana
Setiap Negara dilanda musibahnya
Perang berlaku sepuluh tahun lamanya.
Ditengah Buana terletak daerah
Berkecuali dari segala balah
Negara tiada berpaksi arah
Kepada Allah diri diserah
Daerah hanya lah sebuah lembah
Seribu Bayangan nama yang gagah
Disinilah lahir sebenar kisah
Panji Syahadah berkibar megah
Sewaktu perang hebat melanda
Keluarlah ke Buana seorang putera
Waris kepada Petapa Waja
Dewa Tombak itu gelarnya
Tombak bernama Si Bisa Mura
Teman sejati kepada sang putera
Menempa nama disegenap buana
Seorang pendamai yang tiada tara
Wira Agung Gelaran Putera
Tengku Nafaria Sangsapurba sebenar nama
Pewaris takhta kepada ayahanda
Paduka Wira Sangsapurba
Suatu ketika disuatu masa
Malang menimpa tiada dijangka
Disempadan bergolak sebuah Negara
Tewas ia bersama cedera
Tewas bukan kerana lemah
Tangkas nya langkah tiada kan kalah
Licik akal musuh berhelah
Makanan beracun membawa lelah
Disungai Seribu tubuh terkapar
Bila langkah telah tersasar
Tombak dipegang bagai berakar
Sahabat sejati dikala sukar
Takdir bertemu tiga puteri
Tubuh terkapar ditarik kesisi
Luka dirawat berhati hati
Bertanya asal tiada berani
Negara gagah Lindungan Purnama
Terlibat sudah perang saudara
Raja diusir entah kemana
Tinggal puteri penerus takhta
Si Dewa Tombak sedar lah sudah
Namun melangkah belum lah gagah
Asal dan usul mula ditelah
Punca berada dinegara berbalah
12 purnama di kota itu
Seri Puteri telah ditabal ratu
Dewa Tombak diarah membantu
Namun menolak tiada mahu
Paman Derhaka masih mengintai
Satu demi satu musuh terkulai
Menteri yang setia tiada nilai
Yang tiada taat maut melambai
Takdir tidak dapat ditolak
Ia terjadi pada Dewa Tombak
Seri puteri menyampai kehendak
Atas bakti tak dapat ditolak
Adinda nya juga berhajat sama
Namun dirinya belum bersedia
Sifat nya masih bagai remaja
Hanya hatinya telah dewasa
Ditasik lembah seribu bayangan
Aria Nur Nilam sari melabuhkan kenangan
Kedasar tasik dilempar harapan
Bersama punahnya sebuah impian
Aria Sakti hatinya rawan
Kehadiran Putera Seribu Bayangan
Menjadi sukar kepada rancangan
Semua penghalang harus dihancurkan
Tetapi gentar pula dihati
Bila kenal satria sejati
Putera kepada Dewi Nurani
Aria Anjasmara nama sejati
Dewi Nurani berpangkat ibu
Walau telah jauh dipisah waktu
Bersatu moyang pada yang satu
Raja yang agung diwaktu dulu
Maharaja Dewa itu gelarnya
Putera Aria Semarak Pawaka
Maharaja terakhir kepada Negara
Lembah Lindungan Purnama
Selang beberapa ketika masa berlalu
Tersebar kisah didalam sendu
Ratu Puteri sedang gering dikamar beradu
Angkara racun buluh perindu
Mangkatnya Ratu Puteri diratap hiba
Menanti Wira Agung tiada tiba
Ke negeri asal dia kembara
Mencari penawar buat isterinya
Berita diterima di angin lalu
Mangkat nya isteri yang gundah selalu
Kini Seri Dewi bergelar Ratu
Berserah pada takdir dan waktu
Kembali hanya melawat pusara
Tetapi disambut pula oleh berita
Pueri bongsu adinda yang manja
Kini terlantar gering juga
Berangkat pulang si Dewa Tombak
7 Perajurit sama bergerak
Harusnya ditinggal Negara bergolak
Khuatir Seri Dewi geruh nasibnya kelak
Namun Puteri berhati keras,
Jejak kekasih dilihat jelas
Dihujung lembah mengharap belas
Pujuk dan rayu tak memberi bekas
Putera Nafaria Cuma memujuk
Seutas kalung lantas diunjuk
Perginya hanya mencari petunjuk
Agar kedamaian dapat dibentuk
Panglima Bayu Utama diberi tugas
Menjaga ratu sentiasa cergas
Bukan mudah tugas digalas
Namun perintah tak mampu dikilas
Kalung permata seri delima
Ditempa khusus tukang diraja
Buat hadiah kepada dinda
Seri Dewi Ratu perkasa
Kalung dipakai tiada dibuka
Sinarnya pudar tiada cahaya
Tinggal puteri bersama derita
Bersama sumpah didalam jiwa
Pedang kesayangan Pembelah Awan
Ditikam ke batu sebagai kenagan
Bersama sumpah yang dilafazkan
Tiada dicabut sepanjang zaman.
Tinggalah Ratu…..
Berakhir bahagian pertama lembaran kisah dari kitab Tampa tajuk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan